Dukacita (Part 12) - Finale
Mon, 24 Jun 2024


Sekolah kembali dibuka. Aku, Ain dan Erham telah kembali ke Segamat. Ain perlu mengajar, Erham perlu belajar dan Aku perlu bekerja.

Walaupun sudah berada di Segamat, namun hati dan jiwa masih berada di Maran. Keadaan Abah yang tak menentu menjadikan kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
-------------------------------------------
19 Mac 2023...

Petang itu Ain pulang agak lewat. Hari yang sibuk membuatkan kami hanya sempat untuk makan tengahari
pada jam 4.30 petang! Selesai makan, azan Asar pun berkumandang. Ketika Aku melangkah ke bilik air, kedengaran handphone Ain berbunyi.

"Siapalah agaknya tu," getus hatiku.

Kedengaran Ain sedang bercakap telefon di susuli, "Abang!...." jerit Ain. Aku yang baru selesai berwudhu terus ke ruang tamu.

"Abang, Abah dah tak ada...." sambung Ain sambil menangis dan menekup mukanya.

"Innalillahi wa inna ilaihi rojiu'n".

Aku terus menelefon Abah Aku dan memaklumkan berkenaan berita ini.

Aku beri Ain masa untuk bertenang dan kembali rasional. Aku tahu, ini adalah masa yang sukar buatnya dan kami semua. Selesai solat Asar, Aku dan Ain terus mengemas apa yang patut sebelum balik ke Maran. Dalam masa yang sama Ain dapat mesej wasap yang meminta kami untuk membawa pulang sekali Zayyad, anak saudara yang sedang belajar di Politeknik Muadzam Shah.

Tapi ada satu masalah, Ain tak simpan nombor telefon Zayyad! Tapi takpa, apa-apa hal, kami kena gerak dulu.

Aku terus memandu dengan laju tapi berhati-hati. Kami bertiga tak banyak bercakap. Walaupun keadaan senyap di dalam kereta namun Ain sibuk dengan handphone untuk mendapatkan nombor telefon Zayyad. Alhamdulillah, akhirnya berjaya!

Setibanya di Politeknik Muadzzam Shah, hari sudah gelap. Kedengaran azan Maghrib berkumandang dari surau Politeknik. Kelihatan juga Zayyad yang sedia menanti kami berdekatan dengan pondok pengawal pintu masuk utama.

Kami meneruskan perjalanan. Kali ni, Aku memandu lebih laju kerana tak mahu terlepas solat jenazah. Aku tetap berhati-hati, terutamanya dengan pandangan mata Aku mula silau bila memandu pada waktu malam.

Alhamdulillah kami sampai di Masjid Jamek Maran sebaik sahaja masuk waktu Isya', yang mana para jemaah dan ahli keluarga yang lain baru sahaja selesai membuat bacaan tahlil.



Suasana pilu menyelubungi Masjid As-Syakirin. Air mata sekali lagi bercucuran sebaik terlihat peti jenazah yang menempatkan jenazah Abah di dalamnya.

Sebaik melihat kehadiran kami, Amin (adik Ain) yang juga bilal di masjid ni segera memanggil kami dan membuka peti jenazah untuk kami menatapi wajah Abah buat kali terakhir.

Wajah Abah kelihatan tenang, bercahaya dan seakan tersenyum. Aku berasa sedikit tenang. Aku dapat rasakan Abah mendapat pengakhiran yang baik sesuai dengan jasa dan amalan baiknya semasa hidup, di samping suka bersedekah dan mengajar ilmu agama.

Seusai solat Isya' dan solat jenazah yang dihadiri oleh ramai jemaah tidak seperti kebiasaan (menurut Amin), sudah sampailah masanya untuk jenazah Abah dibawa ke tanah perkuburan.

Alhamdulillah. Proses pengkebumian Abah berlangsung dengan mudah dan lancar walaupun hari sudah malam dan gelap.



Tak kurang juga pada mereka yang menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sama ada tenaga, masa, wang ringgit dan kelengkapan lain. Semoga anda semua dirahmati Allah dan dimurahkan rezeki, insyaAllah.

Semoga Allahyarham Ustaz Haji Awang Kechik Bin Jaafar, ayah mertuaku tenang di sana, ditempatkan di kalangan hambaNya yang dirahmati dan diampunkan segala dosa-dosa.

Mohon anda yang membaca dapat menghadiahkan bacaan Al-Fatihah untuk beliau. A-Fatihah.
View Archives | Back to Top