Kini sudah seminggu sejak Abah dibawa pulang dari SASMEC. Keadaan Abah ada masa stabil, ada masa keadaannya membimbangkan. Kami adik beradik mengambil giliran untuk sama-sama membantu Paksu Amin, Pak Lang dan Cik Jah dalam menunggu dan menjaga Abah sepanjang masa tersebut. Ada yang gilirannya malam, siang, pagi dan petang. Ada yang bermalam, ada yang berulang dari rumah masing-masing.
Paksu Amin, Pak Lang dan Cik Jah tinggal bersama Abah dan menjaga Abah selama ini. Mereka lebih mengetahui dan memahami cara menjaga dan mengurus Abah terutama dalam keadaan sekarang yang lebih mencabar dan memerlukan 200% perhatian dari kami semua.
Dalam masa yang sama, rumah Abah di Maran ni tak sunyi dari kunjungan saudara mara dan rakan kenalan Abah yang datang untuk menziarahi Abah. Hampir semua anak-anak saudara Abah datang menziarah tak kira dari jauh mahupun dekat termasuk bekas murid-muridnya dan mereka yang pernah menimba ilmu dengan Abah.
Tapi dalam ramai-ramai yang menziarahi Abah, ada sepasang suami isteri ni yang datang menziarahi Abah. Umurnya sekitar 70-an. Pakcik ni mengatakan dia adalah kawan Abah. Katanya, dia tidak tahu menahu yang Abah sedang sakit.
Dia datang kerana dia tak sedap hati selepas beberapa kali dia mendapat mimpi yang menggambarkan Abah seolah-olah ingin berjumpa dengannya. Apabila sampai di Maran, alangkah terkejutnya dia kerana Abah sedang sakit tenat.
Ini satu yang diluar jangkaan. Rare! Namun segalanya tidak mustahil bila Allah izinkan.Betul tak?
----------------
Cuti sekolah akan berakhir tak lama lagi. Aku lihat Ain sugul memikirkan keadaan. Antara kehendak untuk berbakti pada Abah yang sedang terbaring dengan beban amanah yang tergalas di bahu sebagai seorang guru. Berat rasa minda dan jiwa.
Aku faham perasaan tu. Tapi dalam masa sama kita tak boleh nak kawal semua keadaan. Tak sampai hati melihat Abah terbaring. Uzur. Kita berusaha selebihnya kita serah kepada Allah yang Maha Perancang.
Selepas berbincang dan berpakat sesama adik beradik, akhirnya kami akur dengan keadaan dan pulang ke Segamat kerana sekolah akan dibuka. Hanya doa dan harapan yang kami titipkan semoga segalanya baik-baik belaka. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Allahu musta'an.
Bersambung...つづく