Dukacita (Part 8)
Tue, 31 Oct 2023


Selesai makan, kami terus bergegas ke Kuantan. Air-cond kereta ada sedikit beza, tapi tetap tak sejuk macam yang diharapkan.

Sepanjang perjalanan, kami tak banyak berbicara. Ain fokus pada telefonnya untuk mengetahui update dari ahli keluarga yang lain. Aku lebih fokus pada pemanduan. Memandu laju namun cukup berhati-hati. Erham pula, dah kenyang terus terlena sambil telefon di tangan.

Kami perlu sampai ke Pusat Perubatan UIA (SASMEC) secepat mungkin. Sesekali Ain bersuara setiap kali ada update di Whatsapp. Aku terus memecut dan sesekali memperlahan kereta bila sampai hotspot speed trap.

"Kita check-in homestay dulu ya", ujar Ain memecah kesunyian.

"Eh, bukan ke nak ke hospital terus?", soal ku sedikit hairan.

"Takpe, Ain dah book homestay ni, untuk kita, Kak Izah dan sesiapa yang nak bermalam di sini.", ujar Ain memecah kesunyian.

Aku mengiyakan sambil terus memandu mengikut map yang diberikan Ain.

Kami tiba di homestay sekitar jam 5.00 petang. Cuaca di Kuantan pun tak kurang panasnya. Selepas kami siap membawa masuk bag, kami berehat dan solat. Seketika kemudian, Kak Izah dan suaminya Ayah Cik Hamzah pun sampai.

Sedang kami berbual bertanya khabar, kami menerima satu mesej whatsapp dari Kak Ngah menyatakan bahawa keadaan Abah sangat tak stabil. Anak-anak dan cucu-cucu sudah diberitahu tentang hal ini. Berita ini membuatkan kami tak senang duduk.

Dalam pada itu, Along Haziqah, cucu perempuan sulung Abah telah sampai di SASMEC bersama suaminya. Sebagai doktor, Along Haziqah turut cuba membantu atuk (abah) sedaya mampu. Namun selain keadaan Abah yang tak stabil, Abah juga meronta-ronta, seolah-olah tak mahu berada di hospital! Ini yang merunsingkan kami semua.

Selepas berbincang, kami berempat sepakat hendak ke SASMEC selepas maghrib untuk mengambil giliran menjaga Abah. Sebaik sahaja kami meninggalkan homestay menuju ke hospital, kami mendapat mesej terbaru yang menyatakan, kami tak perlu ke sana kerana Abah telah diberi ubat penenang dan sudah tidur. Pada malam itu abang kembar kami akan bermalam di sana.

Kami kembali ke homestay. Kami sepakat untuk berehat dan tidur kerana tak tahu apa yang bakal berlaku esok. Allahu musta'an.

Bersambung...つづく

View Archives | Back to Top