Kami melepasi pintu pagar utama Hospital Sultan Ahmad Shah, (HOSHAS) Temerloh. Sunyi dan sepi sesuai dengan keadaan yang jam menunjukkan jam 2.30 pagi. Aku terus memandu menuju ke Bahagian Kecemasan setelah diberi petunjuk oleh Ain.
Aku yang separa mamai masih cuba fokus. Keadaan semacam banyak yang berubah. Kali terakhir Aku ke sini kira-kira 8 tahun lepas sewaktu Ain masuk ward kerana pendarahan dan penyakit
Cystnya itu.
Kami terus ke lobi. Kelihatan ahli keluarga kami setia menanti di sana. Ada yang duduk di bangku, ada yang duduk di lantai beralaskan tikar. Suasana ini tidak terhad kepada keluarga kami sahaja, bahkan turut kelihatan pada ahli keluarga pesakit lain. Terpaksa bergilir-gilir untuk masuk dan bertemu dengan pesakit dalam sela masa yang sangat singkat.
Peraturan bahagian Kecemasan yang ketat, membuatkan senario ini sering dilihat hampir di semua hospital-hospital kerajaan. Nak buat macam mana kan? Namun di sebalik peraturan, sikap toleransi dan budi bicara petugas keselamatan sangat-sangatlah dihargai. Lebih-lebih lagi di waktu kritikal seumpama ni.
Dalam kes Abah (Ustaz Awang Kechik) ni. Keadaan Abah yang benar-benar uzur membuatkan kami sekeluarga sangat risau. Abah terlalu lemah dengan usianya yang menjangkau 84 tahun ditambah dengan keadaannya yang tidak boleh bersuara atau bercakap kesan penyakit kanser peti suara sejak 20 tahun lalu.
Oh ya, untuk pengetahuan semua Abah adalah antara
Cancer Survivor yang masih ada. Namun kesannya tetap ada iaitu, Abah tak dapat bercakap walaupun telah sembuh dan bebas dari kanser tersebut!
Aku dan Ain terus ke kaunter pengawal untuk meminta kebenaran masuk untuk melihat Abah, sambil membawa sedikit makanan dan minuman untuknya. Dengan nada tegas, makcik guard meminta kami keluar semula selepas 5 minit. Teserlah riak wajah keletihan di sebalik nada yang tegas itu. Namun kami tetap hargai.
Aku dan Ain melangkah masuk ke ruang yang menempatkan para pesakit. Malam tu kelihatan beberapa orang pesakit. Ada yang tua, muda, berjaga dan yang tidur. Petugas-petugas yang ada kelihatan cukup dengan pelbagai jawatan ada di kaunter. Ada yang bermain dengan handphone. Ada yang meneliti fail. Ada yang bergurau senda. Ada juga yang sibuk menguruskan pesakit.
Ini pun senario yang sering terjadi terutamanya apabila dah lewat malam dan di awal pagi. Aku memerhati sahaja gelagat manusia dalam ruangan itu. Sambil merenung Abah yang seakan tak selesa kerana suasana terlalu sejuk.
Ain cuba menenangkan Abah. Cuba menyuapkan bubur dan air. Namun Abah seperti separa sedar dan berhalusinasi. Sesekali Aku turut memanggil Abah. Aku cuba membangunkan badan Abah supaya mudah bagi Ain menyuapkan Abah. Namun Abah seakan-akan meronta kecil.
Setelah seketika, akhirnya Ain berjaya menyuapkan Abah beberapa suap bubur dan air. Abah dibaringkan semula sambil kami cuba menyelimutkan Abah dengan kain yang ada. Dalam pada tu Abah cuba untuk memberitahu sesuatu. Apabila diamat-amati, Abah bertanyakan waktu. "Pukul berapa sekarang?".
Pukul 3.00 pagi, Abah, jawab Ain. Namun dari reaksi Abah, seakan masih tidak berpuas hati dan terus memberi isyarat bertanyakan waktu.
Aku lihat Ain. Air matanya masih becucuran perlahan. Aku pun turut sebak. Sambil memicit-micit badan Abah hati ini tak putus memohon pada Allah agar diberi kesembuhan pada Abah. Mulut tak berhenti berselawat.
Bersambung...つづく
(Ya, cerita ni panjang...)