Dukacita (Part 1)
Sat, 25 Mar 2023


"Bang, Harliza whatsapp ni. Katanya Kak Ani masuk wad dan disahkan kanser hati tahap 4!", ujar Ain.

Aku yang baru hendak ke bilik air untuk berwudhu' terpaku, terkesima bahkan semacam tak percaya dengan apa yang baru dikatakan oleh Ain. Tanpa berlengah kami terus solat asar dan bersiap untuk ke hospital.

Aku masih tak boleh nak hadam dengan berita ini. Namun Aku tetap tenang memandu walaupun hati ini sudah semakin sebak. Sepanjang perjalanan ke hospital Aku, Ain dan Erham lebih banyak berdiam.

Erham yang baru terjaga dari tidurnya dan masih mamai terus bertanya akan kemana arah tujuan kami. Aku terdengar Ain berbisik kepadanya menyatakan kami akan ke hospital untuk melawat "Mak".

"Erham, mak tengah sakit, kita nak melawat mak kat hospital.", ujar Ain.

"Yeke Mama? Erham nak jumpa mak, Erham rindu.", ujar Erham sambil mula nak menangis.

Aku semakin sebak. Terkenang semasa Kak Ani atau "Mak" menjadi pengasuh Erham pada tahun 2019. Walaupun Kak Ani bukanlah pengasuh pertama, tapi beliau merupakan pengasuh paling lama sejak Erham berusia 2 tahun sehingga 5 tahun (sebelum masuk ke Tabika).

Jarak ke Hospital Segamat dari rumah kami lebih kurang 10 km. Ditambah pula hari dah petang, sudah pastinya jalan sesak. Aku terus berdoa agar kami dapat sampai sebelum masa melawat tamat.

Alhamdulillah, kami sampai dan masih dalam waktu melawat. Namun ada satu masalah! Mengikut peraturan hospital, Erham tak dibenarkan melawat kerana masih dalam kategori kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Allah, satu lagi dugaan!

Setelah berbincang dengan Ain, akhirnya kami setuju untuk bergilir melawat Kak Ani. Aku juga berpesan agar Ain buat video call, sekurang-kurangnya dapatlah Kak Ani dan Erham bercakap atau sekurang-kurangnya melihat dan nampak antara satu sama lain.

Ain terus naik ke wad di tingkat satu manakala Aku dan Erham hanya menunggu di lobi hospital. Sesekali Erham merengek "Nak jumpa mak...", Aku terus bersabar sambil menenangkan Erham.

Jam menunjukkan pukul 6.20 petang. Suasana hening, tenang. Tak ramai pelawat. Mungkin sudah lewat ditambah hari Selasa. Aku terus berdebar menanti video call dari Ain. Aku juga cuba menghubungi Ain tapi gagal. Kini Aku juga resah seperti Erham.

Bersambung...つづく
View Archives | Back to Top