Abah! Olat!
Fri, 17 Apr 2020


16 April 2020 (Hari ke-30 PKP, Fasa 3)

Azan Asar baru selesai dikumandangkan dari surau berdekatan. Ain yang sudah bersedia lebih awal terus menunaikan solat.

Aku masih bersandar di atas sofa di depan TV sambil menonton siri Robocar Poli. Aku pun tak tahu kenapa Aku begitu asik dan ralit pulak menonton kartun tu. Penangan PKP Fasa 3 kot? Hehe.

Manakala Erham berada di dalam bilik. Kedengaran seperti dia sedang leka bermain seorang. Dari nada suara dan dialognya, Aku percaya dia pun tengah asik berlawan dengan raksasa khayalannya dan dirinya adalah sebagai seorang Ultraman, heheh.

Aku biarkan sahaja sambil berharap di dalam hati agar dia tidak kacau Mamanya yang sedang solat.

Seketika kemudian, Ain pun keluar dari bilik dan terus duduk di sebelah Aku. Dari gaya dan reaksinya, tiada tanda-tanda yang menunjukkan ada sebarang gangguan daripada Erham. Aku pun lega sambil mata terus tertumpu pada kaca TV. Begitu juga Ain.

Erham keluar daripada bilik. Dengan gaya bersahaja dia terus menerpa ke arahku sambil berkata...

Erham : Abah, olat!
Aku : Ulat? Mana ulat?
Erham : Bukan ulat, olat laaa

Aku dan Ain saling berpandangan...

Aku : Solat ke? Sembahyang?
Erham : Haaa olat! emayang! Epatlaa, andi, olat... (Ya, solat. Sembahyang. Cepatlah mandi (wudhu), solat)

Ya Allah! Terkesima Aku dibuatnya! Aku lost word untuk beberapa saat. Sungguh tak disangka. Ain pun turut terdiam. Kami tersenyum.

Aku : Ain ke ada pesan kat dia suruh Abang solat?
Ain : Eh, takde pun. Dia cakap sendiri tu. Ha apa lagi? Pergilah solat.

Dengan perasaan yang bercampur baur, Aku terus bangun dari sofa. Tinggalkan Robocar Poli dan terus ke bilik air untuk berwudhu dan solat.

Allahu Rabbi. Erham, Erham. Allah tegur Abah melalui anak Abah yang baru nak masuk 3 tahun bulan depan. Subhanallah. Alhamdulillah.
View Archives | Back to Top