Semalam (Isnin, 18 September).
Hari yang agak sibuk bagi Aku di ofis. Begitu juga bagi Ain. Masing-masing busy sampai tak sempat nak lunch katanya.
Lepas ambil Ain di sekolah, kami terus ke rumah Ummi untuk mengambil Erham pula. Tapi kali ni kami terlewat sedikit daripada biasa.Sesampai di sana seperti biasa Ummi akan bercerita serba sedikit tentang Erham sepanjang hari bersamanya. Selepas meminta maaf kerana kelewatan kami terus beredar kerana kelaparan yang dah tahap maximus decimus meridius! Hehehe.
Ain mencadangkan kami ke De Fairy Tales Gift & Florist Cafe, kerana teringin nak makan satu hidangan ala-korea ni. Aku ON je. Hehehe.
Apa yang menarik dengan venue ini ialah ia adalah gabungan cafe dan kedai bunga dan cenderamata. Suasana yang tenang serta dekorasi dalamannya yang moden dan sederhana sedikit sebanyak menggamit kami untuk kembali ke sana. Ditambah pula dengan makanan dan minuman yang boleh dikatakan ada kelainan di samping harga yang kira...OK la bagi kami.
Sesampai di sana, macam biasa Aku akan mendukung Erham ke tingkat 1, sebab ruangan makan di atas lebih selesa dan ada privasi sedikit. Kami biasanya akan duduk di meja tepi dinding yang mempunyai tempat duduk berbentuk U.
Setelah Aku meninjau-ninjau ternyata 2 daripada meja tersebut telah diduduki. Paling hujung ada sekumpulan remaja Cina, dan yang di tengah-tengah (port biasa kami) ada 2 orang pelajar sekolah yang lengkap beruniform. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Sekali imbas antara tingkatan 2,3 atau 4. Aku malas nak peduli sangat.
Tapi yang buat Aku agak pelik bila perlakuan mereka agak mencurigakan. Terlalu rapat kedudukannya dan agak intim! Namun Aku cuba untuk bersangka baik. Husnuzzon. Niat aku bukan nak cari masalah cuba mencari makan semata sambil meluangkan masa bersama Ain dan Erham selepas hari yang sibuk.
Kami pun order makanan. Sambil menunggu, kami bersembang-sembang sambil sesekali mengagah Erham. Agah! Budak-budak kena agah! Tak lupa juga selfie sekeluarga.
Sehinggalah pesanan kami tiba. Kami makan dan minum sambil bergilir menjaga Erham. Namun begitu Aku tak boleh lupa tentang perihal budak berdua tu yang hanya terpisah dek tembok setinggi 6 kaki di sebelah meja kami ni. Sambil berharap mereka beredar segera supaya hilanglah keraguan dan syak wasangkaku ini.
Kami selesai bersantap. Masa untuk beredar. Aku pun keluar daripada sudut makan tersebut sambil Ain menghulur Erham kepadaku. Sebaik Aku mengundur sedikit ketika itu Aku terpandang satu adegan yang tidak sewajarnya berlaku di tempat awam seperti cafe, yang tak sepatutnya dilakukan oleh remaja Melayu, Islam, dan lengkap beruniform sekolah! Bahkan si perempuan lengkap bertudung.
Namun itulah realiti depan mata! Di kala Erham dalam dakapan Aku. Mereka berdua sedang berkucupan tanpa segan silu! Bahkan...Ya Allah tak sanggup Aku nak menaip apa lagi yang Aku lihat.
Aku : Hoi! ( Hati tengah panas) Kau buat apa tu??!!
Pasangan tu terkejut! Dan segera menjauhkan diri antara satu sama lain serta memperkemas diri.
Aku : Korang ni dah kenapa? Tak malu ke buat macam ni? Dengan uniform sekolah lagi!! Sekolah mana ni??!!
Sambil menutup lencana masing-masing, Aku nampak budak lelaki tu terus tarik muka dan bercakap sesuatu dengan nada yang perlahan. Aku makin tercabar. Aku serah Erham pada Ain.
Aku : Kau tak puas hati ke? Marilah! Sini! Sini!!!. Jerkah Aku.
Dengan segera dia menggeleng-geleng dan wajah bertukar cemas.
Aku : Mujurlah korang bukan adik-adik Aku... Kalau tak aku dah sepak (tampar) sorang-sorang sekarang ni!
Ketika tu Aku bukan sekadar nak tampar tapi rasa nak tendang aje dua-dua tu. Tanpa segan silu.
Aku : Dah Aku nak korang blah sekarang! Blah!
Tanpa berlengah budak lelaki tersebut terus ambil beg dan beredar tanpa memperdulikan si budak perempuan tu. Dari riak wajahnya kelihatan takut, dan ada sikit kesal (sebab dah kantoi, kot) . Budak perempuan yang seakan terkejut dan tak percaya apa yang berlaku cuba beredar. Tapi kali ni ditahan Ain. Ain segera memegang budak perempuan tu. Dia cuba untuk menutup lencana dan tanda namanya. Tapi gagal!
Kami dah tau kedua-duanya dari sekolah mana. Cuma nama mereka sahaja yang kami tak tanya. Tak boleh nak hadam apa yang kami hadapi sampai tak ingat nak tanya.
Astagfirullah!
Ketika itu ada 2 waitress yang sedang bertugas, mereka cuma memerhati dari sudut yang agak jauh. Selepas bebudak itu beredar. Salah seorang waitress mendekati kami. Daripada cerita mereka, seakan pasangan tu dah biasa melakukan perkara tersebut namun tiada siapa berani nak tegur.
Aku dan Ain hanya diam, Erham pula begitu galak ketawa seakan diagah. Dia tak tau Abah dia tengah naik angin! Kami pun beredar ke tingkat bawah untuk bayar. Dalam pada tu Erham tetiba menangis! Rupanya dia berak pula!