Tiket Oh Tiket!
Wed, 27 Jul 2011
Kami sampai di Bukit Jalil pagi tadi sekitar 8.25 pagi. Nampaknya masih lengang dan seakan tiada apa-apa yang besar akan berlaku. Tanpa sarapan, tanpa menjamah sebarang makanan kami kuatkan tekad.

Kami keluar dari kereta. Dengan 1 tujuan, harapan dan jangkaan. Langkah demi langkah. Segagah Pak Belang mencari habuan. Lengang yang kami jangkakan pada mulanya tadi, semakin lama semakin hilang apabila kami dapati semakin ramai manusia sudah setia, tegak menanti dalam barisan di hampir semua kaunter jualan tiket. Kami masuk ke dalam barisan tepat 8.34 pagi.


Sudah ramai yang sampai lebih awal...


Semua yang ada kelihatan serius. Ada yang berpakaian formal ada yang santai, ada yang muda dan ada yang tua. Suasana agak sepi. Yang terdengar cuma keluhan kecil, batuk kecil dan sesekali terdengar luahan "Bilalah nak buka kaunter ni?" Kami terus setia menanti bersama ribuan warga yang patriotik, yang cintakan negara dan mahu melihat pasukan Harimau Melaya mengaum bangga dan terus mara bergaya.


8.50 pagi, terdengar sorakan daripada bahagian hadapan barisan. Ya! Kaunter sudah mula dibuka dan barisan yang tadinya tersangatlah panjang, terus terbahagi kepada dua. 2 kaunter sudah dibuka! Hasilnya kami dapat mara dan berada lebih dekat lagi dengan kaunter tiket.


Makin dekat tapi padat...


Dalam pada kami serius dan fokus menanti giliran, kami sempat bersembang sambil bergelak ketawa dengan beberapa bro dan pakcik yang turut sama beratur bersama kami. Walaupun kami saling tak mengenali pada awalnya, namun atas semangat 1Malaysia dan semangat kesukanan, kami berbual bahkan melawak seakan dah kenal lama kaedahnya.

Namun begitu, ada juga individu yang mempamerkan sikap kurang enak dan tidak matang ketika itu. Antaranya, seorang pakcik ni, beliau antara orang yang terawal berjaya membeli tiket, namun dengan wajah yang riak terus melalui antara barisan sambil menyatakan kepada kami tiket bakal habis! (sedangkan ketika itu kaunter baru dibuka). Sama ada dia nak melawak atau memang saja nak provok, tetap tak kena pada tempat dan masanya. Lagi mau kasi panas. Dah la masa tu cuaca makin panas. Syukurlah pakcik itu selamat meninggalkan tempat itu dengan selamat tanpa sebarang insiden yang tak diingini, hheheh.


Semakin hampir...


Ok nak pendekkan cerita, akhirnya kami berjaya mendapatkan tiket yang diingini selepas 1 jam lebih. Bak kata orang putih "Patience is Virtue".


Yes!


Mesej untuk Pasukan Harimau Malaya, berjuanglah dengan sedaya upaya. Jangan hampakan harapan warga Malaysia. Ayuh! Aumm! Auumm!! Auumm!!!
View Archives | Back to Top