Selagi ada peluang 2
Sun, 24 April 2011
Tahlil

Walaupun sudah terlewat, akhirnya kami sampai juga ke rumah Kai untuk memenuhi undangan majlis tahlil Allahyarham Ayahandanya, Uncle Marzuki yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi kelmarin (21 April). Walaupun tak sempat untuk menyertai majlis ini dari permulaannya, namun kami bersyukur kerana mampu berada di penamatnya. Sekurang-kurannya kehadiran kami ini, mampu meredakan kesedihan dan sebagai tanda kami sentiasa ada sebagai rakan dan taulan dalam apa keadaan pun, insyaAllah. Aku dan sahabat-sahabat lain mengucapkan salam takziah buat Kai sekeluarga.

Setelah bersalaman dengan Auntie Normah (ibu Kai) dan minta diri Aku, Baguk, Jo, Anaih, Iman dan Zufar terus menuju ke kereta diiringi Kai sendiri. Suasana malam yang hambar dan lesu sedikit sebanyak mempengaruhi kami yang turut sama bersedih dengan apa yang telah berlaku. Kai kelihatan tenang, namun dari air mukanya, hanya Allah yang tahu perasaannya.

Bagi mengurangkan sedikit kesuraman, kami berbual-bual tentang memori ketika di universiti dulu, sambil diselangi gelak ketawa kecil. Namun sebagai kawan rapat, tak sanggup rasanya nak bergembira berlebihan sambil melihat seorang kawan lagi yang masih dalam kesedihan. Walaupun niat hati hendak beredar, namun hati aku seakan tegar untuk masih kekal di situ, seakan tidak mahu meninggalkan Kai. Suasana sepi seketika...

Jalan di hadapan rumahnya seakan menjadi saksi. Kami tegak berdiri membisu. Memikirkan sesuatu. Melayan perasaan sehinggalah Kai bersuara. Menceritakan detik-detik akhir sebelum pemergian Ayahandanya. Suara Kai tenang dan lancar. Kami hanya mendengar dan mengangguk. Sekali sekala terganggu dek kenderaan melalui. Kami terus mendengar. Memahami dan menyelami. Aku biarkan Kai menghabiskan ceritanya.

Kemudian Kai bersuara "Aku redha, tapi satu yang aku sedih sikit sebab aku kurang spend masa dengan dia. Korang nanti jangan lupa mak ayah, selalu spend masa dengan diorang, ok.."

Kami terus membisu. Secara tak langsung terus teringat kepada kisah yang berlaku 2 tahun lepas, kisah yang dialami Azrul Hisham @ Scat (Selagi ada peluang) ketika Ibunya dijemput menyahut seruan Ilahi. Sama tapi tak serupa. Aku menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Kai, tanda undur diri dan mengucapkan takziah. Aku memeluk Kai, sambil memberikan kata semangat. Begitu juga rakan yang lain, bersalaman dan memeluk tanda takziah dan selamat tinggal.


**************************************************

Malam itu...

Sejak awal malam lagi hati aku rasa semacam. Sedih, gelisah, kecewa bahkan pelbagai lagi rasa yang tak sedap terus silih berganti melanda hati dan jiwa aku. Jo dan Baguk sudah lama berlayar ke alam mimpi. Jam menunjukkan pukul 1.25 pagi. Aku off laptop, mengemas apa yang patut dan terus merebahkan badan di atas tilam yang tak begitu empuk. Sebaik sahaja aku setkan alarm untuk esok, aku terus terlena sehingga...

rintone berbunyi...

"Oh Oh Oh Oppareul saranghae
Ah ah ah ah manhi manhihae
sujubeuni jebal utji mayo
jinsim ini nollijido marayo
Tto babogateun mal ppunya...
"


Aku yang baru terlelap terasa macam sedang bermimpi. Namun aku masih mampu melihat nama yang terpapar pada skrin - Kai Marzuki. Aku dengan minda 50-50 tanpa disedari terus menekan butang cancel. Namun syukurlah, aku kembali sedar dan terus menelefon kembali Kai. Suara Kai agak perlahan namun masih jelas. Aku semakin berdebar,

Aku : Kai, kenapa?
Kai : Kau ada kat mana ni?
Aku : Aku kat rumah Bangi, kenapa?
Kai : Ni aku nak bagi tau, Ayah aku dah meninggal....
Aku : Innalillah! Ya Allah, bila tu Kai?
Kai : Baru kejap tadi...Kau tolong beri tau kawan-kawan lain ye..
Aku : InsyaAllah, Kai.
Kai : ...

Ya Allah, terkejut betul aku. Terus hilang rasa mengantuk. Macam mana ni? Sekarang dah pukul 2.15 pagi! Aku terus menelefon Abah. Tidak ada jawapan. Seperti yang aku jangkakan. Dalam pada aku masih terkejut, aku masih sempat membancuh secawam kopi 3 in 1. Kemudian telefon aku berdering! Call daripada Abah.

Dari suara Abah aku dapat rasakan yang Abah sudah expect sesuatu berita mengejut. Aku sampaikan berita yang sedih ini dengan hati yang berat. Abah sangat terkejut! Abah menyarankan aku memberitahu kawan-kawan terdekat sebagai usaha membantu Kai. Setelah itu aku pun menghubungi beberapa kawan rapat kami semasa di UiTM dan MMU. Namun hampir kesemuanya tidak menjawab telefon kerana ketika itu sudah pukul 2.30 pagi!

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk sms mereka sahaja dengan harapan pagi nanti mereka dapat membaca sms itu dan tahu dengan hal ini. Aku duduk menenangkan diri, sambil menghirup kopi. Kedengaran nada dering untuk message. Ya, beberapa orang telah response. Namun aku tetap tak berpuas hati. Aku on semula laptop dan login ke Facebook dan terus setkan status berkenaan hal ini.

Ketika itu jam sudah menunjukkan 3.20 pagi. Dalam pada tu aku menerima beberapa panggilan dari kawan-kawan yang hendak memastikan kesahihan berita itu sekaligus merancang untuk pergi berziarah pada pagi nanti. Sambil meneguk baki kopi yang masih ada, aku terus berfikir, dan berfikir. Ok esok aku nak EL! Aku mesti pergi menziarahi dan memberi penghormatan untuk kali terakhir untuk Allahyarham. Aku pun terus melelapkan mata.


Pagi itu...

Selepas bersiap-siap aku terus menelefon Boss aku sekitar jam 8.55 pagi. Aku memberitahunya bahawa aku hendak EL kerana Pakcik aku meninggal. Boss aku membenarkan dan meminta aku menghantar emel sebagai prosedur rasmi. Ok, done.

Dalam pada itu Jo keluar dari biliknya untuk mandi dan bersiap-siap. Aku mengajaknya pergi sekali. Namun oleh kerana, dia baru sahaja EL pada hari sebelumnya maka dia tak dapat nak ikut. Orite, Aku paham dan terus memulakan perjalanan tanpa berlengah lagi.

Aku sampai sekitar 9.50 pagi. Aku dapati ramai orang yang datang berziarah. Mereka terdiri daripada kenalan, sahabat dan saudara mara Allahyarham. Dalam pada ramai orang yang berziarah aku dapat melihat beberapa muka yang agak familiar. Ya, Abe Nazo, Mart Jai dan Alan pun ada. Kami bersalaman sambil bertanya khabar. Kemudian salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan dan semua ahli keluarga terdekat pun sudah kesana. Seorang lagi rakan kami iaitu Pojie pun sampai. Kami terus bergerak ke tanah perkuburan dengan berpandukan GPS.

Suasana di tanah perkuburan sememangnya suram. Walaupun ramai yang hadir namun suasana hening dan sunyi. Aku lihat Kai dan beberapa orang lagi sedang bertungkus-lumus menimbus tanah bagi menutup lahad Alllahyarham. Masa terus berlalu dan semuanya selesai. Kini upacara bacaan talkin bermula. Inilah kemuncak segalanya. Suasana semakin hiba. Suara bacaan talkin daripada Imam sememangnya penuh dengan nada keinsafan dan kesedaran sekaligus menyentuh hati dan jiwa para hadirin sekalian. Bahkan aku sendiri tak dapat menahan dari menitiskan air mata. Selamat tinggal Uncle, semoga dicucuri rahmat...

Alhamdulillah, akhirnya setelah semuanya selesai dengan selamat dan lancar, kami terus berjumpa Kai untuk mengucapkan takziah. Kemudian kami terus ke rumah Kai, sambil menanti kehadiran rakan-rakan lain yang baru sampai. Kami beransur pulang pada sebelah petangnya.


Secara peribadinya...

Aku dah mengenali Allahyarham sejak 2001, iaitu sejak aku kenal Kai sendiri semasa belajar di UiTM, Shah Alam. Bagi aku, beliau seorang yang baik, penyayang, professional dan menghormati orang lain sesuai dengan latarbelakang beliau sebagai orang korporat. Berbual dengan beliau bagaikan berbual dengan orang yang dah lama dikenali. Cara beliau berkomunikasi sememangnya membuatkan siapa sahaja rasa dihormati dan diterima walaupun pada perjumpaan pertama kali.

Selain daripada itu, beliau juga ada memberi beberapa nasihat dan tips untuk berjaya setiap kali aku singgah di rumahnya. Beliau yang kelihatan tegas namun ramah, juga gemar berkongsi pengalaman dan cerita menarik untuk dijadikan tauladan.

Secara keseluruhannya, sebagaimana aku menganggap Kai seperti saudara sendiri, begitu juga aku menganggap Allahyarham sebagai Ayah Angkat. Pemergiaannya memang tak dijangkan. Kali terakhir aku berjumpa beliau adalah pada tahun 2009 yang lepas. Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan hambaNya yang terbaik, insyaAllah...

Al-Fatihah...
View Archives | Back to Top