Kawan...
Sun, 6 Sep 2009
Pagi yang dingin, nyaman sedikit sebanyak menyentuh perasaan dan hati aku. Bermacam-macam persoalan, isu dan memori berlegar di kotak minda seakan tiada penghujungnya.

Tapi aku lebih senang mengenang perkara yang lebih bermakna dan boleh memberi manfaat pada semua. Lagi-lagi pada subuh Ramadhan sebegini. Terasa tenang berlatarbelakangkan alunan bacaan Al-Quran dari surau berdekatan.

Kawan...sahabat, rakan dan taulan adalah antara entiti terpenting selepas keluarga dalam kehidupan kita sebagai manusia. Bahkan ada sesetengah orang mengaggap seseorang (kawan) itu bagai saudara sendiri atau lebih. Ya itulah hakikat yang kita sering baca, dengar dan lihat.

Aku tertarik dengan satu status Facebook seorang kawan yang maksudnya lebih kurang begini, "Walaupun kita semua sentiasa sibuk dengan urusan, namun bila menjelang Ramadhan seakan kita mampu menahan kesibukan itu semata-mata untuk berkumpul dan berbuka bersama kawan-kawan dan rakan-rakan..."

...dan aku setuju. Ini kerana ini adalah satu realiti di mana kita mampu mengumpulkan diri kita dan orang lain demi satu tujuan dan matlamat - berbuka bersama, dan atas tiket - "member-member".

Mungkin ini juga boleh ditafsirkan sebagai salah satu daripada apa yang kita semua panggil keberkatan Ramadhan? Wallahua'lam. Apapun yang pasti selagi perkara yang kita lakukan itu baik dan murni niat serta pelaksanaannya, pastinya ada keberkatan.

Sebagai mana yang disebutkan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya yang menyatakan ”Salah satu golongan dari 7 golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri adalah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Huraian: Orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan ingat-mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.

Sekadar renungan, di subuh hari nan dingin untuk aku dan semua. Walaupun ringkas aku harap bermanfaat untuk aku dan anda.

Selamat!~

View Archives | Back to Top