Baru-baru ni ibu kepada salah seorang sahabat aku telah pun dijemput Ilahi pulang ke pangkuannya. Walaupun tiada pertalian darah yang rapat dengan arwah, namun hubungan yang boleh dikatakan sangat baik menyebabkan aku menganggapnya seakan saudara sendiri.
Aku bersyukur kerana masih sempat menziarahinya ketika beliau dimasukkan ke ICU Hospital Putrajaya pada hari Khamis yang lepas walaupun dalam keadaannya yang koma. Namun sms pada pagi sabtu, yang lepas juga telah mengejutkan aku apabila aku dimaklumkan yang beliau sudah pulang ke rahmatullah, innalillahiwainnailaihiraji'un.
Disebabkan timbul beberapa kerumitan pada hari tersebut, maka aku tak dapat menghadirkan diri ke majlis pengkebumiannya, cuma semalam aku, Khai dan Idan baru berpeluang menziarahi warisnya, Azrul Hisham @ Scat sebagai tanda takziah dari rakan taulan.
Sebak terasa bila mana Scat menceritakan detik-detik cemas dalam hidupnya, dan bagaimana dia harus menghadapi situasi paling gawat sebagai anak yang sulung terutama dalam menguruskan hal ehwal pengkebumian ibunda tercinta. Segala urusan dan keputusan di tangannya. Namun syukurlah segalanya berjalaan lancar tanpa banyak rintangan dan halangan.
Sebagai kawan, apa yang mampu aku, Khai dan Idan lakukan cuma mendengar dan sekali sekala menenangkan dan menceriakan keadaan.
"Sayangilah mak korang sementara dia ada, aku dah tak dapat lagi dah, lom puas nak peluk dia, cium dia, kena marah ngan dia...". Ungkapan ni memang betul-betul menusuk kalbu. Sebak betul aku rasa. Aku sedar, betapa aku dan orang lain masih berpeluang nak bermanja, bersama, berbakti pada ibu kita sendiri. Tuhan masih memberi kita peluang untuk itu semua, dan dalam masa yang sama Dia boleh mengambilnya bila-bila masa sahaja. Terasa sangat sedih dan terharu bila mengenangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada kedua orang tua kita sebelum ni.
Aku hanya mampu berdoa semoga Allah kurniakan kesihatan kepada kedua ibu bapa kita semua, dan lanjutkan usia mereka demi menangisi dengan kegembiraan kejayaan kita dan bukan melihat orang lain mentertawakan kegagalan kita.Amin...
Semoga kita semua mengambil sedikit iktibar dari apa yang aku share kan di sini. Ingatlah dan berubahlah selagi ada peluang...