Blog Aku
Pada awal tahun 2000, fenomena blog atau blogging merupakan satu trend yang sangat popular dan telah mendominasi internet. Hampir semua orang yang tahu menggunakan internet pada ketika itu telah menceburkan diri dalam trend blogging ini sebagai satu cara baru eksplorasi, ekspresi diri bahkan sebagai satu cara menjana pendapatan .
Platform blogging telah muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pada ketika itu, sesiapa yang tidak mempunyai laman blog sendiri ibarat mereka yang ketinggalan dan tak mengikut trend. Blog boleh diibaratkan seperti media sosial pada hari ini yang sangat memberi impak dalam kehidupan seharian.
Secara peribadi, Aku juga antara mereka yang teruja dengan trend blogging pada ketika itu. Ini telah membawa kepada kelahiran blog yang sedang anda baca ini. Wujud sejak tahun 2003 dengan nama ORELLEX.org. Tapi pada tahun 2006 secara rasminya telah ditukar kepada ORELLEX.com dan kekal sehingga kini. Sejak dari itu, blog ini boleh dikatakan sebagai sebahagian kepingan kecil (tapi PENTING) dalam hidup Aku.
Aku Blogger
Minat terhadap blog tercetus bersama rasa minat Aku terhadap laman sesawang atau website. Selepas tamat SPM pada 1998, Aku bekerja di sebuah cybercafe di Segamat, yang mana di sana Aku mula terdedah dengan alam siber seperti email, chatting (mIRC), animated gifs, free web hosting dan sebagainya. Di samping itu, Aku turut berkenalan dengan beberapa orang yang menjadi asbab mencorak landskap internet peribadi dan hala tuju cita-cita Aku.
Sebagai kesannya, Aku memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang IT di universiti. Namun begitu, Aku mampu merancang Tuhan jua penentu segala. Masuk Universiti Malaya (UM), Gagal! Masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Gagal lagi! Diringkaskan cerita, dengan izin Allah, akhirnya Aku berjaya di Multimedia University (MMU) dalam bidang Digital Media selepas 2 kali gagal sebelumnya.
Syukur selepas melalui tempoh masa belajar yang panjang, Aku berjaya juga di sini berkat usaha dan doa Abah, Allahyarhamah Mama, Adik, keluarga dan semua orang. Aku berjaya mencapai kerjaya impian aku iaitu web designer seawal first job Aku pada tahun 2009.
Selepas lebih sedekad, Aku masih bekerja dalam bidang dan industri yang semakin getir ini. Sebagai pengasas EV MEDIA dan SEGAMAT.BIZ, harapan Aku agar industri ini akan terus relevan dan teguh di kala persaingan sengit antara seni kreativiti, "benda FREE" dan "Newbie". Juga dengan niat membantu sesama bangsa dan agama, mempertingkat kemahiran dan pengetahuan serta perniagaan di mana termampu dan pada sesiapa yang memerlukan, insyaAllah.
Back to Top